Friday, November 30, 2012

Deria Kinestesis & Peranan Reseptor Regang Dalam Mengekalkan Keseimbangan dan Koordinasi


Selain deria sentuh, bau, rasa, penglihatan, manusia juga mempunyai deria kinestesis yang membolehkan seseorang peka terhadap regangan otot.

Melalui deria kinestesis, kita boleh mengetahui kedudukan bahagian badan dan orientasi badan secara menyeluruh pada setiap masa tanpa melihat. Melalui deria kinestesis juga, kita dapat menjalankan aktiviti seperti bermain piano, menari dan menukar baju dengan mata tertutup atau dalam keadaan gelap.

Kita juga berupaya menentukan objek mana yang lebih berat apabila objek itu dipegang secara bergilir-gilir walaupun tanpa melihat objek itu.

Reseptor regang (proprioceptors) memainkan peranan penting dalam deria kinestesis. Contoh reseptor regang ialah otot, tendon, ligamen dan sendi. Reseptor ini sangat peka terhadap perubahan dalam regangan, tegangan dan kedudukan bahagian badan yang berkaitan.

Reseptor regang (proprioceptors) dalam otot.

Reseptor regang merupakan gentian otot khas yang disambungkan kepada gentian saraf deria dan terletak selari dengan gentian otot lain. Reseptor ini dirangsangkan apabila otot mengecut atau mengendur. Impuls dihantar ke otak. Otak akan mentafsir maklumat supaya otot dapat bergerak balas untuk mengimbangkan badan.

Apabila berlaku pergerakan di bahagian badan ini, reseptor regang akan dirangsang dan impuls dicetuskan serta dihantar ke sistem saraf pusat. Otak akan menganalisis maklumat itu dan menghantar impuls kembali ke bahagian badan yang sama untuk memastikan pergerakan bahagian itu diselaraskan dan pengimbangan badan secara keseluruhan tidak terjejas.

Reseptor kinestesis dang regang bekerjasama rapat dengan reseptor di bahagian telinga dalam pengimbangan badan.

Semasa menjalankan sesuatu pergerakan, reseptor di telinga dalam akan memberitahu kita tentang kedudukan terhadap tarikan graviti manakala reseptor kinestesis dan regang pula memberikan maklumat tentang kedudukan bahagian badan yang lain secara relatif dengan kedudukan kepala.

Dalam proses pengimbangan, otot melakukan penyelarasan untuk memastikan pusat tarikan graviti berada dalam keadaan yang stabil.

Deria kinestesis sangat penting terutamanya bagi orang buta kerana deria ini membolehkannya
  • mengimbangkan kedudukan dan koordinasi badan tanpa melihat.
  • menentukan objek mana yang lebih berat.

Tindakan Refleks


Tindakan refleks (reflex action) ialah gerak balas terhadap sesuatu rangsangan (stimulus) yang berlaku secara pantas (rapid) dan automatik serta tidak memerlukan pemikiran (otak).

Tindakan refleks merupakan tindakan luar kawal. Tindakan refleks tidak perlu dipelajari dan biasanya berlaku tanpa disedari.

Contoh-contoh tindakan refleks dalam kehidupan harian ialah menarik tangan apabila tersentuh seterika panas, sentakan lutut dan kerlipan mata (blinking of eyes).

Dalam tindakan refleks, impuls dihantar dengan pantas dari reseptor (receptor) melalui neuron deria (sensory neurone) ke saraf tunjang (spinal cord). Di dalam saraf tunjang, impuls melintasi neuron perantaraan (relay neurone) sebelum keluar dari saraf tunjang melalui neuron motor.

Lintasan impuls sedemikian dikenali sebagai arka refleks (reflex arc).

Lintasan tindakan refleks (arka refleks).

Urutan lintasan yang dilalui oleh impuls dalam tindakan refleks adalah seperti berikut:

Rangsangan  reseptor  neuron deria  saraf tunjang  neuron perantaraan  neuron motor  efektor  gerak balas

Jirim putih didapati pada bahagian luar saraf tunjang dan terdiri daripada gentian-gentian saraf. Jirim putih kelihatan berwarna putih kerana kehadiran salut mielin pada gentian saraf.

Jirim kelabu yang berbentuk huruf H terdapat di bahagian tengah saraf tunjang. Jirim kelabu ini terdiri daripada badan sel.

Kelebihan tindakan refleks ialah:
  • Membolehkan gerak balas badan yang sangat pantas terhadap perubahan persekitaran luar dan dalam.
  • Tindakannya mendatangkan faedah, contohnya mengelakkan diri daripada kecederaan.
  • Gerak balasnya adalah secara spontan (automatic).