Wednesday, June 17, 2015

Ciri Keselamatan Dalam Kenderaan Yang Mempunyai Kaitan Dengan Inersia

Jika kenderaan yang sedang bergerak berhenti dengan tiba-tiba, penumpang di dalamnya akan terhumban ke hadapan. Ini disebabkan inersia (inertia) mereka mengekalkan gerakan mereka ke hadapan.

Penumpang boleh dicegah daripada terhumban ke hadapan dengan memakai tali pinggang keledar.

Tali pinggang keledar (seatbelts) dapat menghalang dan menghentikan gerakan pemandu dan penumpang ke hadapan dalam masa yang singkat supaya mereka tidak terhantuk atau tercampak keluar dari kereta sewaktu kemalangan.

Beg udara (airbag) yang dipasang pada bahagian stereng (steering) kereta akan mengembang dan menghalang pemandu daripada terhantuk pada stereng semasa berlakunya perlanggaran.

Stereng (steering) kereta juga mudah patah supaya daya hentakan pemandu pada stereng dapat dikurangkan.

Tempat duduk di hadapan juga dipasang dengan alas ‘rehat kepala’ (head rest) untuk mengelakkan kecederaan pada kepala apabila kenderaan yang dipandu dilanggar oleh kenderaan lain dari belakang.

Kenderaan berat seperti bas dan lori mempunyai had laju dan had bilangan penumpang atau had muatan. Ini adalah untuk memastikan inersianya tidak terlalu besar.

Beg udara menghalang pemandu daripada 
terhantuk pada stereng.

Friday, June 5, 2015

Hubung-kait Antara Jisim dengan Inersia

Inersia (inertia) suatu objek bergantung kepada jisimnya. Semakin besar jisim (mass) suatu objek, semakin besar inersia objek itu.

Objek yang berjisim besar memerlukan daya yang besar untuk menggerakkannya daripada keadaan pegun, atau menghentikannya dalam keadaan bergerak.

Sebuah basikal yang sedang bergerak boleh dihentikan dengan lebih mudah apabila brek ditekan jika dibandingkan dengan sebuah kereta yang sedang bergerak. Ini adalah kerana jisim basikal lebih kecil berbanding dengan kereta.

Contoh-contoh berikut menunjukkan hubung kait antara jisim dengan inersia dalam kehidupan seharian:

a) Sebuah keretapi (train) yang sedang bergerak tidak boleh dihentikan dengan serta-merta walaupun brek telah ditekan. Inersia yang besar akan mengekalkan gerakan keretapi itu ke hadapan. Oleh itu, keretapi memerlukan jarak yang jauh untuk berhenti.



b) Bagi kapal terbang yang besar seperti Boeing 747, landasan untuk berlepas dan mendarat adalah jauh lebih panjang berbanding dengan kapal terbang yang kecil. Kapal terbang yang besar mempunyai inersia yang besar dan memerlukan landasan yang panjang untuk berhenti.



c) Jisim sebuah kapal tangki minyak boleh mencapai beribu-ribu tan. Semasa berlabuh, kapal tangki minyak perlu mematikan enjinnya sejauh beberapa kilometer dari pelabuhan untuk membolehkan kapal itu diperlahankan oleh geseran air.



d) Kren (crane) biasanya digunakan untuk mengankat dan memindahkan beban yang berjisim besar, misalnya struktur binaan, besi buruk dan sebagainya. Oleh itu, kren perlu berjisim lebih besar daripada beban yang diangkatnya. Inersia yang besar akan mengekalkan kedudukan pegun dan kestabilan kren di satu tempat semasa beroperasi.



Inersia

Inersia (inertia) suatu objek merupakan sifat semulajadi objek tersebut menentang perubahan terhadap keadaan asalnya, samada dalam keadaan pegun atau gerakan yang diakibatkan oleh tindakan daya luar terhadapnya.

Sesuatu objek yang berada dalam keadaan pegun cenderung mengekalkan keadaan pegunnya dan cuba menentang sebarang daya luar yang cuba menggerakkannya.

Duit syiling yang terletak di atas sekeping kadbod akan jatuh ke dalam gelas jika kadbod itu disentap dengan cepat. Ini adalah kerana duit syiling mempunyai inersia yang dapat mengekalkannya pada kedudukan pegun.

Duit syiling akan jatuh ke dalam gelas jika 
kadbod disentap keluar dengan pantas.

Selain itu, sesuatu objek yang sedang bergerak akan cuba mengekalkan keadaan gerakannya dan akan menentang sebarang daya luar yang cuba mengubah arah atau menghentikan gerakan objek itu.

Apabila sebuah bas yang sedang bergerak dihentikan dengan tiba-tiba, penumpang yang berdiri di dalam bas akan terhumban ke hadapan. Ini adalah kerana penumpang yang sedang bergerak ke hadapan mempunyai inersia yang mengekalkan gerakan terus ke hadapan walaupun bas sudah berhenti.

Wednesday, June 3, 2015

Jisim

Jisim (mass) suatu objek ditakrifkan sebagai ukuran kuantiti jirim yang terkandung dalam objek itu. Semua objek terdiri daripada jirim.

Jisim diukur dalam unit miligram (mg), gram (g) atau kilogram (kg). Unit S.I. bagi jisim ialah kilogram (kg).


Dalam neraca makmal sains, jisim sesuatu objek diukur dengan menggunakan neraca tuas, neraca kimia atau neraca palang.

Jisim sesuatu objek adalah tetap dan tidak berubah tidak kira di mana objek itu berada. Oleh itu, sesuatu objek dengan jisim 1 kg di Bumi juga akan mempunyai jisim 1 kg di Bulan.

Jisim objek tidak akan berubah walaupun keadaan bentuk, isipadu, tarikan graviti dan tekanan atmosfera terhadap objek dan suhu objek berubah.

Dengan kata lain, jisim ialah kuantiti jirim dalam suatu bahan, dan disukat dalam unit kilogram (kg). Berat pula adalah merupakan tarikan daya graviti terhadap bahan itu dan disukat dalam unit newton (N).