Thursday, May 12, 2016

Kelenjar Endokrin

Bukan semua koordinasi aktiviti badan dikawal dan diselaraskan oleh sistem saraf. Sesetengahnya dikawal dan diselaraskan oleh sistem endokrin, contohnya proses pertumbuhan.

Koordinasi ini dikenali sebagai koordinasi kimia kerana melibatkan bahan kimia, iaitu hormon yang dirembeskan oleh kelenjar endokrin.

Rajah di bawah menunjukkan kedudukan kelenjar endokrin utama dalam badan manusia.

Kedudukan kelenjar endokrin manusia, lelaki dan wanita.
(tekan pada gambar untuk besarkan paparan)

Kelenjar endokrin ialah kelenjar tanpa duktus atau salur. Setiap hormon yang dirembeskan oleh kelenjar endokrin mempunyai fungsi masing-masing dan dibawa terus ke sistem darah tanpa melalui sebarang salur.

Rajah di bawah menunjukkan rembesan hormon terus ke dalam darah.


Hormon memberi kesan ke atas kesihatan manusia. Aras hormon perlu kekal dalam keadaan seimbang. Kelebihan atau kekurangan aras sesuatu hormon dalam darah boleh membawa kesan buruk. 

Misalnya, hormon insulin berfungsi untuk mengawal aras glukosa dalam darah dan merangsang penguraian glukosa dalam hati. Kekurangan hormon insulin boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit diabetes (kencing manis).