Sunday, December 9, 2012

Otak Manusia

>>> Pakej Pembelajaran & Penilaian Online <<<
Struktur Otak Manusia

Otak manusia (human brain) merupakan sebahagian daripada system saraf pusat dan terletak di rongga kranium (cranial cavity).

Otak manusia terdiri daripada berjuta-juta sel saraf, mempunyai berat kira-kira 1.4 - 1.5 kg, dan merupakan otak yang paling rencam dalam alam haiwan (animal kingdom).

Otak manusia mempunyai bahagian luar yang berwarna kelabu, dan bahagian dalam yang berwarna putih.

Bahagian kelabu terdiri daripada badan sel neuron (neurone), juga dikenali sebagai jirim kelabu, manakala bahagian putih terdiri daripada gentian saraf atau dikenali sebagai jirim putih.

Bahagian utama otak manusia.

Terdapat tiga (03) bahagian utama dalam otak manusia, iaitu:
  1. Serebrum (cerebrum)
  2. Serebelum (cerebellum)
  3. Medula oblongata (medulla oblongata)

Bahagian otak dan fungsinya.

Bahagian otak
Fungsi
Serebrum
  1. Mengawal semua tindakan terkawal.
  2. Mengawal segala aktiviti kecerdasan, pembelajaran, pemikiran dan ingatan.
  3. Menerima dan mentafsir utusan dari deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa.

Serebelum
  1. Mengawal keseimbangan badan.
  2. Menyelaraskan segala aktiviti yang terlibat dalam pergerakan.

Medula oblongata
  1. Mengawal semua tindakan luar kawal seperti pernafasan, denyutan jantung dan peristalsis (peristaltic).
  2. Menyelaraskan tindakan reflex seperti muntah, batuk, bersin dan rembesan air liur.


Keratan tegak otak manusia.


Serebrum

Serebrum merupakan bahagian yang terbesar merangkumi lebih kurang 80% daripada jumlah jisim otak dan terletak di otak hadapan.

Kawasan fungsi serebrum otak manusia.

Serebrum boleh dibahagikan kepada dua (02) hemisfera, iaitu:
  1. Hemisfera kanan.
  2. Hemisfera kiri.

Hemisfera kanan menerima impuls saraf daripada bahagian kiri badan, manakala hemisfera kiri pula menerima impuls saraf daripada bahagian kanan badan.

Lapisan luar serebrum berlipat-lipat dan mempunyai alur yang dalam untuk meningkatkan luas permukaan otak dan menampung lebih banyak neuron. Luas permukaan yang besar melibatkan keupayaan untuk menyimpan maklumat dan mentafsirkan impuls yang tinggi.

Fungsi serebrum adalah seperti berikut:
  1. Terlibat dalam tindakan terkawal.
  2. Menjalankan aktiviti pemikiran logik, penaakulan dan ingatan.
  3. Mengawal fungsi organ deria.
  4. Sebahagian besar hemisfera kanan mengawal tugas yang memerlukan proses sintesis seperti mereka-bentuk dan mengecam muka seseorang.
  5. Sebahagian besar hemisfera kiri mengawal tugas yang memerlukan penggunaan proses analisis seperti bertutur, membaca, menulis dan mengira.

Selain pembahagian kepada dua hemisfera, serebrum juga dibahagikan kepada tiga kawasan fungsi:
  1. Kawasan hadapan – mengawal aktiviti seperti pemikiran, peringatan, pembelajaran, penaakulan dan kecerdasan.
  2. Kawasan deria – menerima impuls daripada organ deria.
  3. Kawasan motor – mengawal otot yang terlibat dalam pergerakan.


Serebelum

Serebelum terletak di bawah dan di belakang serebrum.

Seperti serebrum, lapisan luar serebelum juga adalah berlipat-lipat.

Serebelum juga terbahagi kepada dua hemisfera, iaitu hemisfera kiri dan hemisfera kanan.

Fungsi serebelum adalah:
  1. Mengawal keseimbangan badan.
  2. Menyelaraskan aktiviti terkawal.
  3. Bertindak secara rapat dengan kawasan motor dalam serebrum.


Medula oblongata

Medula oblongata adalah bahagian paling bawah yang menghubungkan otak dengan saraf tunjang.

Medula oblongata adalah komponen otak yang paling kecil.

Fungsi medula oblongata adalah:
  1. Menyelaraskan aktiviti luar kawal seperti denyutan jantung, peristalsis (perjalanan tinja di dalam usus), bersin dan rembesan air liur.
  2. Membolehkan seseorang terus hidup walaupun serebrum dan serebelum tercedera.

No comments:

Post a Comment

'Follow' to get notification of blog updates

Google+ Followers