Saturday, January 12, 2013

Perubahan Kimia


Jirim (matter) ialah bahan yang terdiri daripada zarah-zarah seni yang mempunyai jisim (mass) dan isipadu (volume).

Perubahan jirim melibatkan penyerapan atau pembebasan tenaga (absorption and release of energy).

Perubahan yang berlaku ke atas jirim boleh dikelaskan kepada dua jenis, iaitu:
  1. Perubahan kimia.
  2. Perubahan fizikal.

Perubahan kimia (chemical changes) ialah perubahan yang menghasilkan satu atau lebih bahan baru.

Bahan baru yang terhasil mempunyai komposisi yang berbeza daripada bahan asal.

Contohnya, telur yang digoreng dengan minyak akan berubah daripada keadaan cecair kepada pepejal pada kedua-dua kuning dah putih telur. 


Perubahan kimia telah berlaku, iaitu telur goreng yang terhasil mempunyai komposisi dan sifat kimia yang berbeza daripada telur mentah akibat paduannya dengan minyak.

Perubahan kimia sentiasa disertai dengan penyerapan dan pembebasan tenaga.

Penyerapan tenaga (absorption of energy) berlaku semasa pemecahan ikatan.

Pembebasan tenaga berlaku apabila pembentukan ikatan terjadi.

Perubahan kimia bersifat kekal dan tidak berbalik.

Ini bermakna bahan baru yang terhasil sukar ditukar kembali kepada bentuk asalnya.

Beberapa contoh perubahan kimia ialah:
  • Pengaratan besi (rusting of iron).
  • Pembakaran magnesium dalam oksigen.
  • Proses fotosintesis (photosynthesis).
  • Pembakaran bahan api fosil (burning of fossil fuels).
  • Peneutralan (neutralisation) asid oleh alkali.

Monday, January 7, 2013

Sebatian Karbon Organik dan Tak Organik


Sebatian karbon

Sebatian karbon (carbon compound) terbentuk daripada kombinasi kimia karbon dengan satu atau lebih unsur-unsur lain. Sebatian karbon wujud di sekeliling kita. Sebatian karbon secara umumnya dikelaskan kepada dua, iaitu sebatian organik (organic compounds) dan sebatian tak organik (inorganic compounds).


Sebatian karbon organik

Sebatian karbon organik adalah sebatian karbon yang berasal dari organisma hidup seperti tumbuhan dan haiwan. 

Sebatian karbon organik mengandungi rantai karbon yang terdiri daripada bilangan atom karbon yang banyak. Contohnya, glukosa, C6H12O6, mengandungi 6 atom karbon.

Sebatian karbon organik larut dalam pelarut organik seperti alkohol, petrol, eter dan kloroform.

Beberapa contoh sebatian karbon organik adalah:
  • Protein haiwan, sutera, keju, susu, mentega dan kulit yang berasal dari haiwan.
  • Protein tumbuhan, beras, kayu, kapas dan getah yang berasal dari tumbuh-tumbuhan.


Sebatian karbon tak organik

Sebatian karbon yang bukan berasal daripada organisma hidup dikelaskan sebagai sebatian karbon tak organik. Sebatian ini berasal daripada bahan mineral dalam kerak Bumi.

Struktur sebatian karbon tak organik mengandungi beberapa atom karbon sahaja. Contohnya, karbon dioksida mengandungi satu atom karbon sahaja.

Sebatian karbon tak organik tidak larut dalam pelarut organik, tetapi larut dalam pelarut tak organik seperti air, asid dan alkali.

Sebatian karbon tak organik yang mengandungi unsur karbon termasuklah:
  • Oksida karbon seperti karbon monoksida dan karbon dioksida.
  • Sebatian karbonat seperti kalsium karbonat (batu kapur dan marmar)
  • Sebatian sianida seperti kalium sianida.

Karbon dioksida merupakan gas yang dihasilkan daripada:
  • Respirasi.
  • Pereputan.
  • Pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan petrol.
  • Sebatian karbonat (kecuali natrium dan kalium karbonat) yang dipanaskan.
  • Sebatian karbonat yang bertindak balas dengan asid.

Sebatian sianida yang terbentuk daripada karbon dan nitrogen adalah sangat beracun.