Saturday, March 28, 2015

Penyinaran

Penyinaran (radiation) ialah teknik pemprosesan makanan dengan mendedahkan makanan kepada sinaran radioaktif seperti sinar gamma atau sinar-X untuk membunuh bakteria dan serangga perosak pada makanan.

Makanan yang berubi dan berakar seperti ubi kentang, halia, bawang besar dan keladi memerlukan dos sinar gamma sebanyak 0.15 kGy untuk merencatkan penunasan.

Buah-buahan tempatan seperti betik, pisang dan mangga yang hendak dieksport ke negara lain boleh dipanjangkan tempoh masakknya dengan menggunakan dos 0.25 kGy hingga 1 kGy.

Penyinaran makanan memberikan faedah seperti berikut:
  • Cara yang selamat tanpa penambahan sebarang bahan kimia ke dalam makanan.
  • Membunuh mikroorganisma dan parasit yang berada dalam makanan. Misalnya, bakteria Salmonella sp. Dapat dibunuh dengan dos sinaran sebanyak 2.5 kGy.
  • Mengurangkan kemerosotan mutu hasil tanaman yang disebabkan oleh serangan serangga, mikroorganisma dan parasit.
  • Memanjangkan tempoh penyimpanan makanan bagi membolehkan makanan itu dieksport ke luar negara.
  • Meningkatkan bekalan makanan sedunia dengan menurunkan kadar kehilangan lepas tuai.
  • Menjaga mutu kebersihan makanan dan menurunkan kadar penyakit yang disebabkan oleh serangga, mikroorganisma dan parasit.

Unit Tenaga Nuklear berperanan mengawal teknik pemprosesan makanan ini dengan rapi untuk mengelakkan dos sinaran radioaktif berlebihan yang boleh memudaratkan manusia.

Pada tahun 1980, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan bahawa penyinaran pada kadar 10 kGy atau kurang ke atas makanan adalah selamat.

Pengusaha perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan dan Lembaga Perlesenan Penyinaran Malaysia sebelum dibenarkan mengimport atau menjual makanan yang diproses secara sinaran.


No comments:

Post a Comment