Friday, June 5, 2015

Hubung-kait Antara Jisim dengan Inersia

Inersia (inertia) suatu objek bergantung kepada jisimnya. Semakin besar jisim (mass) suatu objek, semakin besar inersia objek itu.

Objek yang berjisim besar memerlukan daya yang besar untuk menggerakkannya daripada keadaan pegun, atau menghentikannya dalam keadaan bergerak.

Sebuah basikal yang sedang bergerak boleh dihentikan dengan lebih mudah apabila brek ditekan jika dibandingkan dengan sebuah kereta yang sedang bergerak. Ini adalah kerana jisim basikal lebih kecil berbanding dengan kereta.

Contoh-contoh berikut menunjukkan hubung kait antara jisim dengan inersia dalam kehidupan seharian:

a) Sebuah keretapi (train) yang sedang bergerak tidak boleh dihentikan dengan serta-merta walaupun brek telah ditekan. Inersia yang besar akan mengekalkan gerakan keretapi itu ke hadapan. Oleh itu, keretapi memerlukan jarak yang jauh untuk berhenti.



b) Bagi kapal terbang yang besar seperti Boeing 747, landasan untuk berlepas dan mendarat adalah jauh lebih panjang berbanding dengan kapal terbang yang kecil. Kapal terbang yang besar mempunyai inersia yang besar dan memerlukan landasan yang panjang untuk berhenti.



c) Jisim sebuah kapal tangki minyak boleh mencapai beribu-ribu tan. Semasa berlabuh, kapal tangki minyak perlu mematikan enjinnya sejauh beberapa kilometer dari pelabuhan untuk membolehkan kapal itu diperlahankan oleh geseran air.



d) Kren (crane) biasanya digunakan untuk mengankat dan memindahkan beban yang berjisim besar, misalnya struktur binaan, besi buruk dan sebagainya. Oleh itu, kren perlu berjisim lebih besar daripada beban yang diangkatnya. Inersia yang besar akan mengekalkan kedudukan pegun dan kestabilan kren di satu tempat semasa beroperasi.



1 comment: