Thursday, December 13, 2012

Gen dan Kromosom

>>> Pakej Pembelajaran & Penilaian Online <<<

Gen merupakan unit keturunan asas (units of inheritance) yang membawa maklumat keturunan daripada satu generasi ke generasi yang berikut.

Setiap jenis gen mengawal perkembangan ciri-ciri tertentu. Contohnya, terdapat gen yang mengawal warna rambut, ketinggian, rupa bentuk daun dan tekstur kulit.

Separuh daripada bilangan gen ini berasal daripada ibu dan separuh lagi daripada bapa. Gen bertanggung-jawab membawa maklumat baka tentang pewarisan ciri-ciri ibu bapa kepada anak.

Gen (genes) adalah terlalu halus untuk dicerap dibawah  mikroskop.

Setiap populasi organisma mempunyai bilangan dan jenis gen tersendiri. Ini menyebabkan kandungan biokimia, rupa bentuk fizikal dan ciri-ciri yang berbeza daripada organism lain.

Gen disusun mengikut urutan tertentu di sepanjang kromosom. Setiap gen menduduki tempat tertentu yang disebut lokus (locus) dalam kromosom.

Kromosom (chromosomes) merupakan struktur bebenang halus dan panjang di dalam nukleus sel.

Kromosom dibina daripada molekul asid nukleik yang dinamakan asid deoksiribonukleik / DNA (deoxyribonucleic acids) dan protein.

Dalam keadaan normal, kromosom dalam nukleus tidak ketara dan hanya dapat dicerap semasa sel melakukan pembahagian. Kromosom hanya jelas kelihatan di bawah mikroskop cahaya berkuasa tinggi semasa pembahagian sel.

Apabila sel membahagi, kromosom mengalami penduaan (duplication). Kromosom akan mengecut dan kelihatan tebal serta pendek. Setiap kromosom ini mempunyai dua kromatid (chromatids) yang terikat ditengahnya oleh sentromer (centomere).

Kedua-dua kromatid ini adalah seiras dari segi bentuk dan kandungan bahan baka.

Struktur kromosom.

Setiap organisma mempunyai bilangan kromosom tertentu. Contohnya, manusia mempunyai 46 kromosom.

Jadual di bawah menunjukkan bilangan kromosom (atau nombor kromosom) yang terkandung dalam sel soma organisma lain.

Organisma
Bilangan kromosom dalam sel soma
Paku pakis
480
Ikan gurameh
100
Kucing
38
Kuda
30
Katak
26
Jagung
20
Tomato
12
Kacang pea
7


Terdapat dua jenis kromosom, iaitu autosom dan kromosom seks dalam manusia dan haiwan peringkat tinggi.

Autosom mengawal semua ciri soma seperti jenis kumpulan darah, berat badan, saiz buah-buahan dan warna kulit.

Kromosom seks pula mengawal jenis jantina. Contohnya, dalam manusia terdapat 46 kromosom, 44 daripadanya ialah autosom manakala yang dua lagi adalah kromosom seks, iaitu kromosom XY dalam lelaki dan kromosom XX dalam wanita.

No comments:

Post a Comment

'Follow' to get notification of blog updates

Google+ Followers