Thursday, July 25, 2013

Pembentukan Imej oleh Cermin Satah


Cermin satah (plane mirror) digunakan untuk memantulkan cahaya. Cermin satah biasanya digunakan di rumah, di dalam kereta dan sebagainya.

Pantulan cahaya.

Sinar cahaya yang menuju ke satah pantulan (permukaan cermin) pada suatu sudut tuju (angle of incidence), i, akan dipantulkan pada suatu sudut pantulan (angle of reflection), r.

Hukum pantulan menyatakan bahawa nilai sudut tuju adalah sama dengan nilai sudut pantulan.

Sudut i = sudut r

Pembentukan imej pada cermin satah adalah disebabkan oleh pantulan cahaya.

Rajah di bawah menunjukkan bagaimana imej suatu objek terbentuk pada cermin satah.

Pembentukan imej pada cermin satah.

Cahaya yang berasal dari titik O dipantulkan pada titik P dan Q sebelum sampai ke mata pemerhati. Sinar R dan S seolah-olah berpunca dari titik I.

Imej yang terbentuk oleh cermin satah mempunyai sifat-sifat berikut:
  1. Maya (virtual), iaitu tidak dapat dibentukkan pada skrin.
  2. Tegak.
  3. Songsang sisi (lateral inversion).
  4. Sama saiz dengan objek.
  5. Jarak objek di hadapan cermin adalah sama dengan jarak imej di belakang cermin, iaitu u = v.

Info:
  • Bahan yang diperbuat daripada kaca dengan lapisan perak di bahagian belakang (logam berkilat) boleh berfungsi sebagai cermin.
  • Sistem komunikasi moden bergantung kepada pemantulan cahaya pada permukaan dalam gentian kaca (optic fibre).

No comments:

Post a Comment