Tuesday, February 10, 2015

Peranan Aloi Dalam Menguatkan Struktur Logam

Logam tulen bersifat mulur dan boleh ditempa.

Sifat mulur bermaksud logam boleh ditarik untuk menjadi satu dawai yang nipis dan panjang.

Kebolehan untuk ditempa pula bermaksud kebolehan logam untuk dibentukkan kepada rupa bentuk yang diinginkan.

Sifat-sifat ini disebabkan oleh susunan zarah logam tulen yang padat dan teratur.

Susunan zarah logam tulen.

Cara susunan ini menyebabkan lapisan zarah logam tulen mudah tergelongsor di atas lapisan lain apabila daya dikenakan.

Sifat inilah yang menjadikan logam tulen mulur iaitu lapisan zarah logam tulen mudah menggelongsor membentuk satu lapisan yang panjang.

Sifat mulur bagi logam tulen.

Ruang antara zarah logam tulen yang besar menyebabkan logam tulen mudah ditempa, iaitu berkebolehan untuk dibentuk apabila dikenakan daya.

Sifat mudah ditempa bagi logam tulen.

Dua sifat logam tulen ini menjadikannya tidak sesuai digunakan dalam industri pembuatan, pembinaan dan pembuatan kenderaan.

Pengaloian (alloying) boleh menyelesaikan masalah ini kerana percampuran zarah logam asing akan mengubah cara susunan zarah logam tulen.

Rajah di bawah menunjukkan susunan zarah logam tulen dalam semua peringkat proses pengaloian. Zarah asing yang lebih besar saiznya diselitkan di ruang antara zarah logam tulen.

Zarah asing yang lebih kecil saiznya berbanding dengan saiz zarah logam tulen juga dapat mengubah susunan zarah logam tulen.

Susunan zarah yang baru akan mengelakkan zarah logam tulen daripada mudah tergelongsor antara lapisan.

Ini disebabkan oleh ketiadaan ruang yang besar antara zarah-zarah logam tulen.

Oleh itu, aloi tidak mudah ditempa dan tidak mulur kerana lapisan zarah-zarahnya tidak mudah menggelongsor di atas satu sama lain.

Aloi dengan zarah asing besar.

Aloi dengan zarah asing kecil.


Sifat-sifat logam tulen:
  • Zarah tersusun dengan padat dan teratur.
  • Lapisan zarah menggelongsor di atas lapisan yang lain.
  • Mulur dan mudah ditempa.

Sifat-sifat aloi:
  • Zarah asing bertaburan secara rawak dan terselit antara zarah-zarah logam tulen.
  • Tiada struktur lapisan zarah. Tiada lapisan yang akan tergelongsor apabila daya dikenakan.
  • Lebih keras, kurang mulur dan tidak boleh ditempa.

No comments:

Post a Comment