Wednesday, February 18, 2015

Mitosis

Mitosis ialah proses pembahagian sel induk untuk menghasilkan dua sel anak (sel baru) yang mempunyai bilangan kromosom dan kandungan genetik yang sama dengan sel induk.

Mitosis berlaku pada sel soma haiwan dan tumbuhan. Sel soma ialah sel badan yang tidak terlibat dalam penghasilan gamet seperti sel kulit, sel rambut dan sebagainya.

Pada haiwan, mitosis biasanya berlaku di seluruh bahagian badan manakala pada tumbuhan, mitosis berlaku di hujung pucuk akar dan tisu kambium.

Proses mitosis dibahagikan kepada empat fasa berikut;
  1. Profasa (peringkat awal).
  2. Metafasa (peringkat pertengahan).
  3. Anafasa (peringkat pemisahan).
  4. Telofasa (peringkat akhir).

Proses mitosis.

Sebelum profasa bermula, terdapat satu peringkat persediaan yang dikenali sebagai interfasa. Dalam fasa ini, sel menyerupai sel yang tidak membahagi dan kromosom tidak jelas kelihatan. Sel menjadi lebih besar dan terdapat penduaan kromosom dan penyimpanan tenaga.

Proses mitosis yang berlaku dalam sel tumbuhan dan sel haiwan adalah hampir sama pada semua fasa. Perbezaan wujud semasa pembahagian sitoplasma yang dikenali sebagai sitokinesis.

Sitokinesis sel haiwan bermula dengan pencerutan membran sel di bahagian tengah sel sehingga dua sel anak terbentuk.

Bagi sel tumbuhan pula, sitokinesis bermula dengan pembentukan plat sel di bahagian tengah sel. Plat sel ini akan terus berkembang ke arah luar sehingga dua sel anak terbentuk.

Mitosis penting kerana proses ini menjamin:
  • Penambahan dan penghasilan sel diploid baru untuk pertumbuhan dan perkembangan organisma.
  • Penggantian sel soma yang telah mati atau rosak dengan sel baru (sel anak) yang menyerupai sel induk.
  • Pembiakan aseks seperti penunasan oleh yis dan belahan dedua oleh ameba dapat dilakukan tanpa pembentukan gamet.
  • Penghasilan sel anak yang menyerupai sel induk dengan bilangan kromosom yang sama membolehkan penyelidikan dalm bidang pertanian dilakukan. Contohnya, kultur tisu dan pengklonan tanaman yang mempunyai mutu yang baik.

1 comment: