Saturday, March 7, 2015

Sifat Gelombang

Gelombang (wave) terbentuk daripada satu sistem yang bergetar dan berayun.

Gelombang merupakan pembawa tenaga dan menyebarkan tenaga dari sumber ke kawasan sekitarnya. Contohnya;
  • Gelombang air.
  • Gelombang bunyi yang membawa tenaga dari sumber bunyi ke telinga.
  • Gelombang cahaya yang membawa tenaga cahaya.

Perambatan gelombang berlaku dalam garis lurus dan boleh mengalami pantulan dan pembiasan.


Gelombang boleh diwakili oleh graf seperti dalam rajah di bawah.

Bentuk gelombang.

Sifat yang berkaitan dengan gelombang adalah seperti berikut:

Amplitud gelombang
  • Sesaran maksimum, iaitu ketinggian satu puncak atau kedalaman satu lembangan dari kedudukan keseimbangan.
  • Amplitud suatu gelombang semakin kecil apabila gelombang merambat semakin jauh dari sumber akibat kehilangan tenaga.
  • Amplitud biasanya diukur dalam meter (m) dan diwakili oleh simbol a.

Frekuensi gelombang
  • Merupakan bilangan gelombang lengkap yang dihasilkan oleh sesuatu sumber gelombang dalam masa satu saat (rujuk gambar rajah di bawah).
  • Unit S.I. bagi frekuensi (frequency) ialah hertz (Hz) dan diwakili oleh simbol f.

Bilangan gelombang lengkap dalam 1 saat.

Panjang gelombang
  • Jarak antara dua titik berturutan yang bergetar dan mempunyai sesaran yang sama serta bergerak dalam arah yang sama.
  • Misalnya, jarak antara puncak A dengan puncak B atau jarak antara lembangan C dengan lembangan D merupakan panjang gelombang (rujuk gambar rajah Bentuk gelombang).
  • Panjang gelombang diukur dalam meter (m) dan diwakili oleh simbol λ (lambda).

Halaju gelombang
  • Jarak yang dilalui oleh suatu gelombang dalam masa satu saat.
  • Halaju gelombang bergantung kepada frekuensi gelombang dan panjang gelombang.
  • Unit bagi halaju gelombang ialah meter per saat (m s-1) dan diwakili oleh simbol v.
  • Hubungan antara halaju gelombang (v), frekuensi (f) dan panjang gelombang (λ), diberikan dalam persamaan;

    Halaju gelombang = frekuensi gelombang × panjang gelombang.

Pada lazimnya, terdapat dua jenis gelombang, iaitu:
  • Gelombang mekanikal yang memerlukan medium untuk perambatannya. Contohnya gelombang bunyi.
  • Gelombang elektromagnet yang tidak memerlukan medium untuk perambatannya. Contohnya gelombang radio.

No comments:

Post a Comment