Tuesday, December 1, 2015

Bakteria

Takrifan mikroorganisma (microorganism) harus mengandungi dua konsep utama:
  • Organisma seni
  • Tidak dapat dilihat dengan mata kasar (hanya boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop).

Bakteria (bacteria) ialah organisma unisel yang sangat ringkas dan terdapat paling banyak di Bumi. Misalnya, 1 gram tanah subur boleh mengandungi sebanyak 25 ribu juta bakteria.

Saiz bakteria adalah di antara 0.5 μm hingga 10 μm [1 mikrometer (μm) = 10−6 meter dan mikrometer juga dikenali sebagai mikron].

Dari segi habitat, bakteria hidup di tempat yang lembap dan hadir di dalam tanah, udara, air, tumbuhan dan haiwan.

Struktur sel bakteria terdiri daripada bahagian utama berikut:
  • Dinding sel terbina daripada protein dan polisakarida yang berfungsi untuk mengekalkan bentuk bakteria.
  • Membran sel mengelilingi sitoplasma dan bersifat separa telap.
  • Sitoplasma mengandungi bintil-bintil glikogen, lemak dan protein.
  • Bahan nukleus bakteria tidak jelas kelihatan. Bahan pewarisan asid deoksiribonukleik (DNA) terbenam dalam sitoplasma tanpa dikelilingi oleh membran nukleus.
  • Bintil glikogen ialah bahan makanan yang disimpan dalam bakteria.

Bakteria mempunyai dinding sel yang dibina daripada protein dan polisakarida.

Selulosa (cellulase) lazimnya merupakan bahan asas dinding sel tumbuhan.

Pengelasan bakteria yang paling lazim adalah berdasarkan rupa bentuknya.
  • Kokus – Bentuk sfera. Contohnya, bakteria gonorea (gonorrhea).
  • Basilus – Bentuk batang. Contohnya, bakteria tibi.
  • Spirilium – Bentuk pilin (spiral). Contohnya, bakteria sifilis (syphilis).
  • Vibrio – Bentuk koma. Contohnya, bakteria kolera (cholerae).
Jenis bakteria mengikut rupa bentuknya.

Bakteria membiak secara aseks melalui dua cara seperti berikut:
  • Belahan dedua (binary fission). Berlaku dalam keadaan sekeliling yang sesuai. Sel bakteria membahagi kepada dua bakteria dalam masa 20 minit. Kadar pembiakan bakteria melalui cara ini adalah cepat.
  • Pembentukan spora. Dalam keadaan sekeliling yang tidak sesuai seperti suhu tinggi dan keadaan kering, bakteria membentuk spora. Spora ialah struktur yang tahan terhadap keadaan persekitaran yang tidak sesuai kerana dindingnya menjadi tebal dan memasuki peringkat rehat. Apabila keadaan menjadi sesuai semula, spora bakteria menyerap air dan bercambah. Dinding spora pecah dan sel bakteria menjadi bakteria baru.

Bakteria mendapatkan makanan / nutrisi melalui tiga kaedah seperti berikut:
  • Parasitisme – Bakteria parasit mengambil makanan daripada organisma hidup yang lain. Misalnya, bakteria tibi mendapatkan makanan daripada peparu pesakit tibi.
  • Saprofitisme – Bakteria saprofit mendapat makanan daripada penguraian organisma mati. Misalnya, bakteria pereputan menguraikan bangkai lembu.
  • Fotosintesis – Sebilangan kecil bakteria yang mempunyai klorofil membuat makanan sendiri daripada bahan tak organik (bahan bukan hidup). Contohnya, bakteria sulfur dan bakteria besi.

Kebanyakan bakteria mendapatkan nutrisinya secara parasitisme atau saprofitisme.

Bakteria yang menjalankan fotosintesis dikenali sebagai autotrof (autotroph), manakala bakteria yang hidup sebagai parasit atau saprofit dikenali sebagai heterotrof.

Bakteria boleh menjalankan dua jenis respirasi.
  • Respirasi aerob – Sesetengah bakteria memerlukan oksigen untuk hidup. Misalnya, bakteria radang peparu dan bakteria tibi.
  • Respirasi anaerob – Sesetengah bakteria tidak memerlukan oksigen untuk terus hidup. Misalnya, bakteria usus.

No comments:

Post a Comment